PENYERI KEBAHAGIAAN BABAH DAN MAMA

Sabtu, 3 Januari 2009

IT--fikir la sendiri..!!


Mudah-mudahan semua selamat dalam menguruskan segala HAL yang datang dalam setiap Waqtu yang diperuntukkan pada akhir zaman yang berserabut ini.
Biarpun lapan juta orang mengatakan ini zaman kemajuan, zaman cyber atau zaman IT, tetapi FAQIR lebih suka menyebutnya akhir zaman. Zaman kelam-kabut, zaman kacau bilau, zaman kembali kepada Jahiliyah atau zaman kejahatan bermaharajalela. Maka teknologi IT itu lebih praktikal kalau diberi terjemahan ‘INGAT TUHAN’ kerana sifatnya manusia ‘INGIN TAHU’. Maka teknologi ini memberi banyak laluan kepada manusia yang ‘INGINKAN TUHAN’.

Jangan pulak kita jadi ‘INSAN TAKSUB’ pada kepandaian akal manusia kerana akal terlalu bijak untuk mengenal Tuhan. Akal juga terlalu bijak untuk menipu diri dan Akal juga mudah ditipu oleh ‘Emosi’. Kebodohan jiwa yang tidak terbatas membuatkan kita sering mencampur-adukkan ‘HAL-HAL’ yang sudah diletakkan pada tempatnya masing-masing. Baik campur jahat, jahat campur baik. Jahat tak berapa jahat, baik pulak tak berapa nak baik. Yang jahat mengaku baik pun banyak, yang baik mengaku dia paling baik pun ada juga.

Sudahnya, timbul pula satu spesis manusia lagi yang jenis baik tapi heboh memperkatakan kebaikan dan jenis yang jahat tapi diam hingga kelihatan kebaikannya. Maka yang menjadi keliru adalah orang-orang jahil dan bodoh yang dipimpin oleh manusia yang tak sedar dirinya bodoh kerana menyangka dirinya pandai.
Kerana belenggu kebodohan inilah manusia akhir zaman ini suka tuduh menuduh, hina-menghina, kata-mengata, fitnah-memfitnah, puji-memuji, bodek-membodek, hasut-menghasut dan akhirnya bunuh-membunuh. Maka syaitan dan kroni-kroninya mengadakan majlis joget lambak meraikan kejayaan ini. Kejayaan menyesatkan cucu-cicit Nabi Allah Adam a.s. Tersangatlah malangnya ketika telah banyak Dzahir benda-benda yang ghaib, ketika ilmu menembusi tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi, kita semakin jauh dari kebenaran. Kita semakin bodoh dan sesat. Kita semakin buta dan pekak dan kita semakin sombong dan riya’. Seterusnya kita semakin jauh dari Tuhan. Apa salahnya kita mengaku kebodohan kita?

Dah memang kita ni bodoh. Kalau tak bodoh pun kita ni tak reti atau tak faham. Okeylah tu. Yang pandai ajarlah yang bodoh, yang reti tunjukkanlah yang betul dan yang faham berilah kefahaman. Toksahlah sombong sangat. Terimalah hakikat bahawa kalau pandai, ada yang lagi pandai, kalau reti ada yang lagi reti, kalau faham ada yang lagi faham. Paling tidak pun renung-renungkan, seterer-terer manusia, sepandai-pandai manusia, sebijak-bijak manusia bila MATI, belum ada yang gali kubur sendiri, yang pakai kain kapan sendiri, atau yang menguruskan pengkebumiannya sendiri. Punyalah Dhaif, mandi pun orang lain juga yang tolong mandikan. Masa tu orang korek ketiak pun tak marah, kalau ketuk dengan gayung pun diam aje. Jadi sama-sama le kita renung. Sama-sama le kita faham. Sama-sama lah kita munafakat, "Berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran."


Kalau satu bulatan ada 360 sudut, hilang satu sudut maka tak bulatlah ia. Begitu jugalah, setiap ‘HAL’ dalam kehidupan ini, lihatlah dari 360 sudut. Kalau tengok dari satu sudut je, maka bertumbuklah kita sudahnya. Dari membuang masa bertumbuk, marilah kita kaji 359 sudut lagi sehingga poning ....!